Asal usul dan persebaran manusia awal




Zaman Prasejarah terbukti telah wujud di rantau Asia Tenggara ini sejak berjuta-juta tahun dahulu dengan penemuan rangka manusia zaman Prasejarah oleh Eugene Dubois di Kepulauan Jawa. Kemudian, Von Koeningswald pula menjadi antara salah seorang pengkaji yang terlibat dalam penyelidikan fosil di Kepulauan Jawa yang telah membahagikan zaman penemuan ini kepada tiga peringkat iaitu zaman pleistosen atas (lapisan Ngandong) sekitar 1.6 juta hingga 700 000 tahun lalu, pleistosen tengah (lapisan Trinil) sekitar 700 000 hingga 125 000 tahun lalu dan pleistosen bawah (lapisan Jetis) sekitar 125 000 hingga 10 000 tahun lalu. 

Meneruskan perbincangan berkaitan asal usul manusia awal, antara teori yang hangat diperdebatkan adalah teori manusia kera yang diperkenalkan oleh Charles Darwin yang menyatakan manusia telah berevolusi daripada manusia kera sehingga mencapai kepada tahap manusia pada masa kini. Sama ada teori ini benar atau tidak, ianya bergantung kepada individu itu sendiri untuk menerimanya atau sebaliknya. Teori yang dikemukakan oleh Darwin ini kemudiannya digunakan oleh Dubois berkaitan penemuannya berkaitan manusia awal. 

1. Pithecantropus
Fosil pithecantropus merupakan fosil yang paling banyak dijumpai di Indonesia. Ia hidup pada zaman pleistosen atas, tengah dan berkemungkinan sehingga ke zaman pleistosen akhir. Hasil tinggalan fosil ini ada ditemui di Perning, Kedungbrubus, Trinil, Sangiran, Sambungmacam dan Ngandong. Antara jenis fosil pithecantropus yang ditemui adalah seperti Pithecantropus Robustus (manusia kera yang besar), Pithecantropus Erectus (manusia kera yang berjalan tegak), Pithecantropus Soloensis dan Pithecantropus Mojoertensis

2. Homo 
Homo dilihat mempunyai ciri-ciri yang lebih maju berbanding pithecantropus. Perbandingan ini dapat dibuat dalam melihat kapasiti otak yang dimiliki. Perkembangan kapasiti otak membolehkan manusia homo lebih mahir dalam kemahiran tangan seperti dapat menggenggam dengan sempurna dan berdiri tegak. Terdapat beberapa tempat penemuan manusia homo seperti di Wadjak dan kawasan berhampiran Sungai Bengawan Solo. Seterusnya, manusia jenis homo ini dapat dibincangkan berkaitan penemuan Homo Erectus, Homo Wajakensis, Homo Soloensis serta Homo Sapiens.

Daripada penemuan rangka-rangka yang telah dibincangkan, dapat disimpulkan bahawa telah ada bukti kewujudan manusia awal di Asia Tenggara seterusnya, meletakkan Asia Tenggara sebagai antara kawasan yang pernah didiami manusia awal prasejarah. Kemudian, dapat difahami bahawa pada peringkat pleistosen akhir, pithecantropus telah berevolusi menjadi homo yang mempunyai kecerdasan otak lebih tinggi yang dapat dibuktikan melalui ciri-ciri kebudayaan yang diamalkan oleh mereka.


Bacaan
  1. Peter Bellwood, Prehistory of the Indo-Malaysian Archipelago, Australia: Academic Press Australia, 1985
  2. Abdul Rahman Haji Abdullah, Wacana Falsafah Sejarah: Perspektif Barat dan Timur, Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd, 2000
  3. Abdul Rahman Haji Abdullah, Sejarah Kebudayaan Asia Tenggara, Selangor: Karisma Publications, 2006.
  4. Adi Haji Taha et al., (editor), Tamadun Prasejarah di Malaysia, Kuala Lumpur: Jabatan Muzium Malaysia, 2011.  
  5. Frank Hole dan Robert F. Heizer, Arkeologi Prasejarah: Satu Pengenalan Ringkas (terjemahan). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990.