![]() |
| Sumber: Google Images |
Pertamanya sebagai seorang pelajar di Jabatan Sejarah, saya secara peribadi melihat perkaitan yang dekat di antara bidang arkeologi dengan bidang sejarah. Hal ini kerana bidang arkeologi ada memainkan peranannya dalam melengkapkan pengkajian sejarah. Secara umumnya, arkeologi dapat didefinisikan sebagai kajian tentang perkara-perkara dari masa lampau yang melibatkan kaedah dan langkah tertentu. Meneruskan perbincangan, terdapat pelbagai definisi yang diberikan oleh para sarjana berdasarkan kecenderungan mereka masing-masing. Paul Bahn menyatakan bahawa arkeologi merupakan satu kajian sistematik berkaitan masa lampau yang berasaskan kebendaan dan bermatlamat untuk membongkar, menerangkan dan mengklasifikasikan tinggalan-tinggalan budaya, menghuraikan bentuk dan perilaku masyarakat masa lalu serta memahami bagaimana ia terbentuk dan akhir sekali menkonstraksinya semula. Grahame Clark turut menjurus kepada definisi yang sama maksud dengan yang diberikan oleh Paul Bahn ini. Selain itu, universiti-universiti di Amerika melihat arkeologi sebagai bidang kajian yang cuba mengkaji manusia dari pelbagai aspek seperti fizikal, budaya, sosial, linguistik dan sejarah. Seterusnya, disiplin arkeologi ini melibatkan proses pemantauan, proses ekskavasi dan kemudian proses menganalisis data. Walaupun kelihatan kompleks, saya percaya bidang arkeologi merupakan
suatu bidang yang menarik dan berbaloi untuk diceburi dan diketahui. Keseluruhannya, saya melihat bidang ini sebagai satu cabang ilmu yang melengkapkan kajian mengenai sesuatu masyarakat.
