Asal usul dan persebaran manusia awal




Zaman Prasejarah terbukti telah wujud di rantau Asia Tenggara ini sejak berjuta-juta tahun dahulu dengan penemuan rangka manusia zaman Prasejarah oleh Eugene Dubois di Kepulauan Jawa. Kemudian, Von Koeningswald pula menjadi antara salah seorang pengkaji yang terlibat dalam penyelidikan fosil di Kepulauan Jawa yang telah membahagikan zaman penemuan ini kepada tiga peringkat iaitu zaman pleistosen atas (lapisan Ngandong) sekitar 1.6 juta hingga 700 000 tahun lalu, pleistosen tengah (lapisan Trinil) sekitar 700 000 hingga 125 000 tahun lalu dan pleistosen bawah (lapisan Jetis) sekitar 125 000 hingga 10 000 tahun lalu. 

Meneruskan perbincangan berkaitan asal usul manusia awal, antara teori yang hangat diperdebatkan adalah teori manusia kera yang diperkenalkan oleh Charles Darwin yang menyatakan manusia telah berevolusi daripada manusia kera sehingga mencapai kepada tahap manusia pada masa kini. Sama ada teori ini benar atau tidak, ianya bergantung kepada individu itu sendiri untuk menerimanya atau sebaliknya. Teori yang dikemukakan oleh Darwin ini kemudiannya digunakan oleh Dubois berkaitan penemuannya berkaitan manusia awal. 

1. Pithecantropus
Fosil pithecantropus merupakan fosil yang paling banyak dijumpai di Indonesia. Ia hidup pada zaman pleistosen atas, tengah dan berkemungkinan sehingga ke zaman pleistosen akhir. Hasil tinggalan fosil ini ada ditemui di Perning, Kedungbrubus, Trinil, Sangiran, Sambungmacam dan Ngandong. Antara jenis fosil pithecantropus yang ditemui adalah seperti Pithecantropus Robustus (manusia kera yang besar), Pithecantropus Erectus (manusia kera yang berjalan tegak), Pithecantropus Soloensis dan Pithecantropus Mojoertensis

2. Homo 
Homo dilihat mempunyai ciri-ciri yang lebih maju berbanding pithecantropus. Perbandingan ini dapat dibuat dalam melihat kapasiti otak yang dimiliki. Perkembangan kapasiti otak membolehkan manusia homo lebih mahir dalam kemahiran tangan seperti dapat menggenggam dengan sempurna dan berdiri tegak. Terdapat beberapa tempat penemuan manusia homo seperti di Wadjak dan kawasan berhampiran Sungai Bengawan Solo. Seterusnya, manusia jenis homo ini dapat dibincangkan berkaitan penemuan Homo Erectus, Homo Wajakensis, Homo Soloensis serta Homo Sapiens.

Daripada penemuan rangka-rangka yang telah dibincangkan, dapat disimpulkan bahawa telah ada bukti kewujudan manusia awal di Asia Tenggara seterusnya, meletakkan Asia Tenggara sebagai antara kawasan yang pernah didiami manusia awal prasejarah. Kemudian, dapat difahami bahawa pada peringkat pleistosen akhir, pithecantropus telah berevolusi menjadi homo yang mempunyai kecerdasan otak lebih tinggi yang dapat dibuktikan melalui ciri-ciri kebudayaan yang diamalkan oleh mereka.


Bacaan
  1. Peter Bellwood, Prehistory of the Indo-Malaysian Archipelago, Australia: Academic Press Australia, 1985
  2. Abdul Rahman Haji Abdullah, Wacana Falsafah Sejarah: Perspektif Barat dan Timur, Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd, 2000
  3. Abdul Rahman Haji Abdullah, Sejarah Kebudayaan Asia Tenggara, Selangor: Karisma Publications, 2006.
  4. Adi Haji Taha et al., (editor), Tamadun Prasejarah di Malaysia, Kuala Lumpur: Jabatan Muzium Malaysia, 2011.  
  5. Frank Hole dan Robert F. Heizer, Arkeologi Prasejarah: Satu Pengenalan Ringkas (terjemahan). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990.


Syarahan Umum Perlantikan Profesor, USM

 
 Syarahan Umum Perlantikan Profesor 


Video di atas sedikit sebanyak telah memberikan pendedahan kepada saya berkaitan bidang arkeologi. Di samping itu, bukti-bukti dan perkembangan yang telah dikemukakan telah menyedarkan bahawa bidang arkeologi ini sememangnya sebuah bidang yang menarik perhatian dunia. Oleh itu, pada bahagian entri ini saya ingin mengambil peluang untuk membuat nota ringkas berdasarkan syarahan umum yang telah diberikan. 

Oleh Prof. Dato' Dr. Mokhtar Saidin
Tajuk yang dibincangkan adalah mengenani kepentingan Semenanjung Malaysia kepada prasejarah dan tamadun berdasarkan kepada kajian yang telah beliau lakukan. Beliau telah mengemukakan dua kes kajian iaitu di kawasan Lembah Lenggong yang melibatkan Bukit Bunuh dan juga di kawasan Lembah Bujang yang melibatkan Sungai Batu. Sebagai seorang yang berkelulusan dalam bidang geologi, beliau menggunakan pendekatan multidisiplin dan saintifik untuk mengetahui kemungkinan keberadaan tapak, artifak dan ekofak. Beliau menggunakan pendekatan yang membina semula persekitaran kuno sesebuah tapak untuk melihat perkaitan alam dengan manusia. Pendekatan ini membabitkan kaedah-kaedah sains seperti pemetaan geologi, geo-fizik, palinologi, penggerudian tanah dan sebagainya. Kemudian, pedekatan yang digunakan beliau menjelaskan bahawa dari segi rantaunya, lokasi Semenanjung Malaysia ini pernah berada pada Pentas Sunda (sebuah daratan yang besar) yang menggabungkan semua Semenanjung Malaysia, Indonesia dan Borneo. Perkara ini dilihat penting kerana ianya memberi fenomena iklim yang berbeza kepada Lembah Lenggong pada ketika dahulu. Dari segi lokalnya, pedekatan ini adalah untuk melihat perkaitan sungai kuno atau tasik kuno.

Kes pertama yang dikemukakan beliau menceritakan tentang kawasan Bukit Bunuh. Ekskavasi yang dimulakan pada 2001 menjumpai lapisan budaya tempatan yang membuat alat batu 40 000 tahun dahulu dan dari semasa ke semasa, telah pula menemui banyak bongkah-bongkah batuan dan pada 2009, beliau telah menjumpai alat batu yang terlekat dan tertanam dalam bongkah-bongkah batuan. Setelah dihantar untuk pentarikhan, sampel telah menunjukkan alat batuan itu telah wujuk sejak 1.83 juta tahun dahulu. Dapatan ini kemudiannya membawa jawapan kepada punca kompleksnya keadaan Bukit Bunuh itu yang telah disebabkann oleh jatuhan meteoroid ke kawasan itu yang menyebabkan aliran Sungai Perak Kuno berpecah dan bercelaru. Dari segi arkeologinya, dapatan ini membuktikan telah adanya kehidupan manusia awal sebelum impak jatuhnya meteoroid itu. Malah, Bukit Bunuh juga menyumbang kepada data geologi dunia.

Kes kedua pula adalah mengenai kawasan Sungai Batu yang mengkaji tapak Kedah Tua pada kajian 2007. Fokus beliau pada ketika itu adalah berkaitan rupa bentuk bumi pada 1 Masihi. Hasilnya telah menemukan bahawa sejak sebelum Masihi lagi, iaitu 535 BC, masyarakat Sungai Batu telah pun boleh melebur besi. Hal ini kerana telah ditemukan relau dan jeti di tepi-tepian sungai yang dipercayai berfungsi sebagai pelabuhan  untuk tujuan mengeksport besi. Selain itu, turut ditemui struktur syahbandar dan bangunan pentadbiran. Oleh itu, dapat dibuktikan tapak Kedah Tua sebagai tapak tamadun tertua di Asia Tenggara kerana telah memiliki sistem sosial yang kompleks yang membolehkan ia melakukan industri besi.

Arkeologi!

Sumber: Google Images
Pertamanya sebagai seorang pelajar di Jabatan Sejarah, saya secara peribadi melihat perkaitan yang dekat di antara bidang arkeologi dengan bidang sejarah. Hal ini kerana bidang arkeologi ada memainkan peranannya dalam melengkapkan pengkajian sejarah. Secara umumnya, arkeologi dapat didefinisikan sebagai kajian tentang perkara-perkara dari masa lampau yang melibatkan kaedah dan langkah tertentu. Meneruskan perbincangan, terdapat pelbagai definisi yang diberikan oleh para sarjana berdasarkan kecenderungan mereka masing-masing. Paul Bahn menyatakan bahawa arkeologi merupakan satu kajian sistematik berkaitan masa lampau yang berasaskan kebendaan dan bermatlamat untuk membongkar, menerangkan dan mengklasifikasikan tinggalan-tinggalan budaya, menghuraikan bentuk dan perilaku masyarakat masa lalu serta memahami bagaimana ia terbentuk dan akhir sekali menkonstraksinya semula. Grahame Clark turut menjurus kepada definisi yang sama maksud dengan yang diberikan oleh Paul Bahn ini. Selain itu, universiti-universiti di Amerika melihat arkeologi sebagai bidang kajian yang cuba mengkaji manusia dari pelbagai aspek seperti fizikal, budaya, sosial, linguistik dan sejarah. Seterusnya, disiplin arkeologi ini melibatkan proses pemantauan, proses ekskavasi dan kemudian proses menganalisis data. Walaupun kelihatan kompleks, saya percaya bidang arkeologi merupakan suatu bidang yang menarik dan berbaloi untuk diceburi dan diketahui. Keseluruhannya, saya melihat bidang ini sebagai satu cabang ilmu yang melengkapkan kajian mengenai sesuatu masyarakat.