Syarahan Umum Perlantikan Profesor, USM

 
 Syarahan Umum Perlantikan Profesor 


Video di atas sedikit sebanyak telah memberikan pendedahan kepada saya berkaitan bidang arkeologi. Di samping itu, bukti-bukti dan perkembangan yang telah dikemukakan telah menyedarkan bahawa bidang arkeologi ini sememangnya sebuah bidang yang menarik perhatian dunia. Oleh itu, pada bahagian entri ini saya ingin mengambil peluang untuk membuat nota ringkas berdasarkan syarahan umum yang telah diberikan. 

Oleh Prof. Dato' Dr. Mokhtar Saidin
Tajuk yang dibincangkan adalah mengenani kepentingan Semenanjung Malaysia kepada prasejarah dan tamadun berdasarkan kepada kajian yang telah beliau lakukan. Beliau telah mengemukakan dua kes kajian iaitu di kawasan Lembah Lenggong yang melibatkan Bukit Bunuh dan juga di kawasan Lembah Bujang yang melibatkan Sungai Batu. Sebagai seorang yang berkelulusan dalam bidang geologi, beliau menggunakan pendekatan multidisiplin dan saintifik untuk mengetahui kemungkinan keberadaan tapak, artifak dan ekofak. Beliau menggunakan pendekatan yang membina semula persekitaran kuno sesebuah tapak untuk melihat perkaitan alam dengan manusia. Pendekatan ini membabitkan kaedah-kaedah sains seperti pemetaan geologi, geo-fizik, palinologi, penggerudian tanah dan sebagainya. Kemudian, pedekatan yang digunakan beliau menjelaskan bahawa dari segi rantaunya, lokasi Semenanjung Malaysia ini pernah berada pada Pentas Sunda (sebuah daratan yang besar) yang menggabungkan semua Semenanjung Malaysia, Indonesia dan Borneo. Perkara ini dilihat penting kerana ianya memberi fenomena iklim yang berbeza kepada Lembah Lenggong pada ketika dahulu. Dari segi lokalnya, pedekatan ini adalah untuk melihat perkaitan sungai kuno atau tasik kuno.

Kes pertama yang dikemukakan beliau menceritakan tentang kawasan Bukit Bunuh. Ekskavasi yang dimulakan pada 2001 menjumpai lapisan budaya tempatan yang membuat alat batu 40 000 tahun dahulu dan dari semasa ke semasa, telah pula menemui banyak bongkah-bongkah batuan dan pada 2009, beliau telah menjumpai alat batu yang terlekat dan tertanam dalam bongkah-bongkah batuan. Setelah dihantar untuk pentarikhan, sampel telah menunjukkan alat batuan itu telah wujuk sejak 1.83 juta tahun dahulu. Dapatan ini kemudiannya membawa jawapan kepada punca kompleksnya keadaan Bukit Bunuh itu yang telah disebabkann oleh jatuhan meteoroid ke kawasan itu yang menyebabkan aliran Sungai Perak Kuno berpecah dan bercelaru. Dari segi arkeologinya, dapatan ini membuktikan telah adanya kehidupan manusia awal sebelum impak jatuhnya meteoroid itu. Malah, Bukit Bunuh juga menyumbang kepada data geologi dunia.

Kes kedua pula adalah mengenai kawasan Sungai Batu yang mengkaji tapak Kedah Tua pada kajian 2007. Fokus beliau pada ketika itu adalah berkaitan rupa bentuk bumi pada 1 Masihi. Hasilnya telah menemukan bahawa sejak sebelum Masihi lagi, iaitu 535 BC, masyarakat Sungai Batu telah pun boleh melebur besi. Hal ini kerana telah ditemukan relau dan jeti di tepi-tepian sungai yang dipercayai berfungsi sebagai pelabuhan  untuk tujuan mengeksport besi. Selain itu, turut ditemui struktur syahbandar dan bangunan pentadbiran. Oleh itu, dapat dibuktikan tapak Kedah Tua sebagai tapak tamadun tertua di Asia Tenggara kerana telah memiliki sistem sosial yang kompleks yang membolehkan ia melakukan industri besi.