Pentarikhan dalam arkeologi



Pentarikhan merupakan suatu aspek yang sangat penting dalam bidang arkeologi kerana ia akan meggambarkan usia tinggalan-tinggalan artifak mengikut pengkelasan zaman. Salah satu bentuk pentarikhan yang digunakan adalah pentarikhan relatif. Umumnya, kaedah pentarikhan relatif adalah berdasarkan perbandingan sesuatu artifak dengan artifak yang lain dengan menggunakan konsep 'lebih tua', 'lebih muda' atau 'sama usia' yang secara tidak langsung tidak berupaya memberi pentarikhan yang mutlak dan benar-benar tepat. Terdapat beberapa kaedah yang lebih terperinci digunakan berhubung pentarikhan secara relatif ini seperti sistem tiga zaman, stratigrafi, tipologi, superposisi, seriasi, pola hias dan ragam hias. 

Sistem tiga zaman diperkenalkan oleh Christian Jurgensen pada 1836 yang pada ketika itu bertugas di Muzium Kebangsaan Denmark dan disebabkan minatnya yang mendalam terhadap artifak-artifak, beliau telah mengelaskan artifak-artifak di muzium berkenaan mengikut tiga zaman iaitu Zaman Batu (yang meliputi Zaman Paleolitik, Mesolitik dan Neolitik), Zaman Gangsa dan Zaman Besi. Meneruskan perbincangan, terdapat beberapa masalah dalam menggunakan kaedah ini seperti ada sesetangah kawasan atau tempat kajian yang melangkaui peringkat zaman tertentu. Tamsilnya, sub Afrika-Sahara yang bermula dari Zaman Batu terus melangkah ke Zaman Besi tanpa melalui Zaman Gangsa terlebih dahulu. Di samping itu, kaedah ini juga tidak mampu mengukur kemajuan sosial dengan sangat tepat. Contohnya di Jepun, tembikar dikatakan telah wujud sekitar  10 000 BC tetapi gangsa dan penanaman padi hanya wujud sekitar 500 BC.

Kemudian, superposisi yang digunakan merupakan konsep geologi yang diaplikasikan dalam bidang arkeologi. Konsep ini melihat kepada timbusan atau tindanan yang mana bahagian di atas akan bertambah dari semasa ke semasa. Hal ini menunjukkan bahawa timbunan awal (yang lebih lama) terletak di bahagian bawah timbunan. Umumnya, lapisan ini sama ada yang dihasilkan oleh kuasa alam atau aktiviti manusia, merupakan rekod kepada turutan sesuatu peristiwa. Perbandigan penempatan di lapisan bawah contohnya, menunjukkan usianya yang lebih tua berbanding penempatan yang terdapat di lapisan atas. Gambaran konsep ini dapat diaplikasikan apabila melihat sebuah perkampungan yang mungkin telah wujud sekitar 5000 tahun yang lalu dan setelah sekian lama, perkampungan itu ditinggalkan, pondok-pondok dan kawasan sekitarnya runtuh dan dilitupi tumbuh-tumbuhan dan tanah. Kemudian selang beberapa ketika, perkampungan seterusnya dibina di tapak yang sama (tetapi dengan senibina yang berbeza disebabkan perkembangan ilmu masyarakat itu). Hinggalah sampai ke suatu tahap, perkampungan ini pula ditinggalkan dan tertimbus. Ringkasnya, perbandingan lapisan mampu memberi gambaran usia dan keadaan sosial sesuatu masyarakat itu. 
Gambaran konsep superposisi

Selain itu, kaedah ini juga mengaplikasikan konsep stratigrafi yang dilihat lebih kompleks jika dibandingkan dengan superposisi. Walaupun begitu, ia masih menekankan kepada pemerhatian lapisan bawah merupakan lapisan awal dan lapisan atas sebagai lapisan yang baru. Kaedah ini mempunyai syarat kajian yang mana tapak yang dikaji merupakan tapak yang tidak terganggu. Sekiranya terdapat lorong yang dikorek (atau dalam kata lain tapak tersebut telah diganggu oleh aspek lain), ia akan menyebabkan pentarikhan sukar dilakukan kerana adanya gangguan dan tidak berlaku secara semula jadi. Walaubagaimanapun, pentarikhan masih boleh dilakukan di kawasan lain yang tidak seberapa jauh dari kawasan berkenaan. Di samping itu, antara masalah yang timbul adalah berhubung dengan stratigrafi terbalik yang mana kandungan lapisan sesebuah tapak telah bercampur aduk atau berlaku gangguan akibat aktiviti manusia atau haiwan. Lapisan yang bercampur ini menyebabkan tiadanya susunan kronologi terpimpin. 

Seterusnya adalah urutan tipologi. Prosedur tipologi ini mengkelaskan himpunan kumpulan artifak secara kronologi berdasarkan perkembangan dan evolusi budayanya. Tamsilnya adalah dalam melihat perubahan daripada bentuk yang ringkas dan mudah kepada bentuk yang kompleks serta dalam masa yang sama turut meneliti aspek-aspek persamaan dan perbezaan antara kawasan ia dijumpai. Penyelidikan seramik di Malaysia menggunakan pendekatan ini apabila penelitian dan analisis telah dibuat dengan melihat persamaan dan perbezaan seramik di Malaysia dan seterusnya membandingkannya dengan jumpaan di kawasan Asia Tenggara yang lain, di China, India serta Eropah. Selain itu, urutan tipologi adalah pengelasan sesuatu artifak berdasarkan ciri-ciri atau jenisnya yang kebiasannya boleh diukur menggunakan mata kasar. Ringkasnya, pengumpulan dan perbandingan yang dilakukan ini dapat memberi arkeologis suatu analisis mengenai sesebuah ciri pecahan tembikar contohnya, dan secara tidak langsung dapat menilai sesebuah tapak sejarah itu sama ada mempounyai bukti seperti kegiatan perdagangan dan sebagainya. 

Seriasi pula adalah kaedah pentarikhan yang menyusun artifak-artifak mengikut struktur dan coraknya mengikut yang paling popular pada zaman penggunannya. Tamsilnya adalah untuk melihat perkembangan batu nisan dan tembikar. Penyusunan mengikut kaedah ini secara tidak langsung dapat menjelaskan perkembangan penggunaan serta waktu penggunaan yang paling dominan. Ahli arkeologi melihat ciri-ciri artifak untuk menjelaskan urutan evolusi yang berlaku. Contohnya adalah seperti kajian yang dijalankan oleh Dethlefsen dan Deetz yang menjalankan kajian pada batu nisan di New England. Batu nisan tersebut menunjukkan tiga jenis motif iaitu Death’s Head, Cherub dan Urn dan Willow dari tahun 1720-1829. Kajian tersebut menunjukkan jenis Death’s Head digunakan pada tahun 1720-1789 (dominan pada1720-1759), Cherub digunakan pada 1760-1809 (dominan pada 1780-1789) manakala Urn dan Willow mula digunakan pada 1770 sehingga 1829. Motif jenis ini mencapai kemuncak pada 1810-1819.

Ringkasnya, aspek pentarikhan memainkan peranan yang begitu kritikal dalam bidang arkeologi dan sejarah. Hal ini kerana ia berperanan memberikan data-data kajian yang penting untuk para arkeologi melakukan penyelidikan yang sewajarnya. Justeru, adalah diharap bahawa penglibatan generasi muda dalam bidang kajian pentarikhan artifak-artifak ini akan menjadi lebih maju dan aktif supaya pelbagai penyelidikan yang menarik dapat diterokai dengan lebih meluas.